Wednesday, December 1, 2010

anggukgeleng

Kias Tanpa  Ilmu

"Pergi ke kedai dan belikan terung," pinta seorang anak muridnya.
"Dan apabila pulang, campakkan ke tingkap dapur rumah saya. Nanti isteri saya akan mengambilnya untuk memasak makanan tengahari ini," tambah guru itu lagi.
Anak muridnya pun segera berlari ke kedai berhampiran dan setelah membeli terung yang dimaksudkan dia terus ke rumah gurunya dan membalingnya menerusi tingkap.
Esoknya, guru itu berkata lagi kepada muridnya yang sama, "Pergi ke kedai dan belikan ikan kering. Kita masak gulai ikan kering tengahari ini. Kamu campakkan ke tingkap rumah saya seperti biasa. Nanti apabila isteri saya pulang daripada mengajar dia akan memasaknya."
Murid yang taat itu pun segera ke kedai dan menunaikan suruhan gurunya.
Hari ketiga. Gurunya berkata, "Hari ini kita makan gulai lemak telur. Kamu pergi ke kedai dan belikan sepuluh biji telur."
Tanpa berlengah-lengah murid itu terus ke kedai membeli telur. Apabila sampai di tepi tingkap rumah gurunya, tanpa berfikir lagi dia terus mencampakkan telur yang dibelinya. Kias sahaja ikut perintah gurunya, seperti hari-hari sebelumnya.

Pengajaran : Megikut tanpa berfikir akan menghilangkan rasional akal. Sedangkan rasional akal itu perlu membina kesucian hati. Bukankah kewujudan dan keagungan Allah itu ditanam ke lubuk hati melalui seruan berfikir dan merenung alam ciptaan-Nya dengan akal fikiran?

Erti Syurga dan Neraka

Alkisah ada seorang pendekar yang suka bertarung. Semua yang menentangnya dengan mudah dikalahkannya. Namun hatinya tetap tidak tenang. Dia ingin mencari pengertian yang lebih mendalam tentang erti kejayaan dan kekuatan.
"Untuk itu, engkau mesti memahami dahulu erti syurga dan neraka," saran seorang sahabat karibnya.
"Di mana?"
"Daripada seorang guru sufi di hujung negeri," cadang shabatnya lagi.
Si pendekar menuju tempat guru sufi yang dimaksudkan. Dia sedang mengajar anak-anak muridnya. Spontan pendekar itu terus bertanya tentang erti syurga dan neraka.
Dengan nada tenang si guru sufi menjawab, "Aku tidak akan melayan pertanyaan daripada orang yang sombong dan bodoh."
Merasa dirinya terhina si pendekar mencabut kerisnya untuk bertarung dengan guru sufi itu.
"Kau akan rasa penangan kerisku ini!" teriak si pendekar sambil memencak langkah silatnya.
"Nah, itulah neraka. Kemarahanmu itulah neraka," jawab guru sufi itu dengan tenang, tanpa berganjak sedikit pun dari tempat duduknya.
Si pendekar tersentak dengan kebenaran dan ketenangan yang ditunjukkan oleh si guru. Kerisnya disarungkan kembali, lalu duduk bersimpuh tanda hormat dan kagum kepada kewibawaan guru sufi itu.
"Dan sekarang, inilah syurga. Apabila kau kembali menguasai kemarahanmu, itulah syurga!"
Si pendekar terus tunduk dan akur. Kini dia menemui apa "neraka" dan "syurga" dalam dirinya sendiri.

Pengajaran : Kemarahan yang tidak terkawal umpama api yang akan membakar ketenangan diri. Manakala kemaafan adalah "syurga" yang memberi keharmonian dan penguasaan untuk menghadapi kerenah kehidupan.

Putus Asa itu Membunuh!

Seorang pekerja di kilang makanan sejuk beku telah terperangkap tanpa tersengaja dalam sebuah bilik sejuk beku. Puas dicuba untuk membuka pintu bilik sejuk itu, tetapi tidak berdaya. Dia menjerit, tidak ada siapa yang mendengarnya.
Kedinginan mula menyerap ke dalam tubuhnya. Dia begitu takut dan bimbang. Siapa yang akan menyelamatkannya?
Setelah ditunggu beberapa lama, tidak ada sesiapa pun yang datang. Kali ini pekerja itu benar-benar berputus asa. Dalam hatinya terdetik, kali ini matilah aku.
Dirasakannya kedinginan bilik itu semakin mengigit hingga ke tulang. Setelah berasa yakin tidak ada siapa yang datang, pekerja itu mengeluarkan sekeping nota dan dia mula menulis... surat wasiat!
Dalam surat wasiat itu dengan sedih dia berpesan dan memberi amanat kepada isteri dan anak-anaknya. Bukan itu sahaja, dia turut menceritakan apa sahaja yang dirasakannya saat itu, termasuk sejuk menggigil yang mencengkam samapai ke tulang.
Keesokan harinya, apabila pintu bilik sejuk itu dibuka oleh beberapa pekerja yang lain, mereka terkejut melihat sekujur mayat terbujur kaku dengan surat wasiat di tangan. Dan mereka lebih terkejut, bagaimana pekerja itu boleh mati? Kerana kesejukan? Tidak, kerana bilik sejuk itu tidaklah sedingin mana. Suis penghawa dingin di bilik itu sejak semalam telah dimatikan!

Pengajaran : Putus asa menyebabkan ramai manusia mati sebelum mati. Malah ada yang mati berkali-kali sebelum mati yang sebenar. Hiduplah selagi hidup. Berusahalah dan berjuanglah berbekalkan harapan. Keep hope alive!

sumber : majalah SOLUSI 
isu no. 21 

No comments:

Post a Comment